EPSP 09
PENGENALAN
Perairan Malaysia di bawah Zon Ekonomi Eksklusif yang meliputi Laut China Selatan, Laut Sulu Sulawesi serta Selat Melaka merupakan ekosistem yang kaya dengan pelbagai jenis hidupan marin dan sumber asli manakala pantainya yang panjang ditumbuhi oleh hutan bakau menjadi habitat utama berbagai jenis hidupan dan berperanan penting sebagai benteng semula jadi menghadapi angin dan ombak kuat seperti bencana tsunami. Walaubagaimanapun, pembangunan negara yang pesat dan aktiviti harian manusia pada masa ini telah menyebabkan berlakunya masalah pencemaran laut dan eksploitasi sumber marin yang berlebihan. Langkah kerajaan dalam membendung masalah ini masih terhad kerana negara kita masih tidak mempunyai pangkalan data saintifik marin yang lengkap dan sebahagian besar daripada ekosistem marin di perairan Malaysia ini masih belum diterokai sepenuhnya oleh para penyelidik.
Menyedari hakikat ini, Direktorat Oseanografi Kebangsaan (NOD), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengambil langkah drastik dengan merancang Program Ekspedisi Pelayaran Saintifik Perdana 2009 (EPSP ’09) di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9). Program ini dilihat sebagai satu kesinambungan kepada usaha berterusan pihak Direktorat Oseanografi Kebangsaan (NOD) dalam menjelmakan inovasi selaras dengan pembangunan sumber marin yang mapan. .
Program EPSP’09 ini tercetus lantaran kesinambungan terhadap ekspedisi pelayaran ROSES (Research on the Seas and Islands of Malaysia) yang dijalankan oleh Stesyen Penyelidikan Marin Muka Head, Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang dijalankan pada Jun 2004. Walaubagaimanapun, kebanyakkan projek-projek kajian ekspedisi ROSES telah ditumpukan kepada Oseanografi Biologikal khususnya kepada taburan terumbu karang serta biodiversiti marin.
Berbeza dengan ekspedisi ROSES, EPSP ’09 merupakan satu program bersepadu yang julung kalinya diadakan di antara agensi kerajaan seperti Pusat Hidrografi Nasional (PHN), Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Laut, Agensi Nuklear Malaysia, dan Jabatan Perikanan Malaysia serta para penyelidik daripada 9 pusat kecemerlangan universiti dalam bidang oseanografi dan sains marin. Skop kajian pada kali ini juga telah merangkumi empat bidang oseanografi utama iaitu Oseanografi Fizikal, Oseanografi Biologikal, Oseanografi Kimia dan Oseanografi Geologikal.
Kawasan kajian, Laut Sulu-Sulawesi yang terletak di antara kawasan perairan Indonesia-Malaysia dan Filipina telah disenaraikan dalam Sulu-Sulawesi Seascapes Program iaitu satu program yang diwujudkan bagi membolehkan kesemua agensi kerajaan, organisasi bukan kerajaan bekerjasama dalam melindungi kepelbagaian hidupan marin di kawasan ini. Laut Sulu-Sulawesi juga termasuk dalam Projek Coral Triangle Initiative (CTI) yang turut dianggotai oleh lima negara lain iaitu Indonesia, Filipina, Papua New Guinea, Timor Leste dan Kepulauan Solomon. Sehubungan itu, ekspedisi perdana menjadi sebahagian daripada pelaksanaan Pelan Tindakan Nasional CTI di mana 75% terumbu karang Malaysia berada di negeri Sabah.
Pada 18 Jun 2009, Program Ekspedisi Pelayaran Saintifik Perdana 2009 berjaya dilancarkan di Jeti Pelabuhan Pusat Hidrografi Nasional (PHN), Pulau Indah. Secara keseluruhannya seramai 58 saintis telah bergilir berlayar selama 46 hari dengan mengunakan kapal penyelidikan milik Pusat Hidrografi Nasional, TLDM K.D. PERANTAU untuk menjayakan dan mencapai matlamat utama ekspedisi perdana ini. Sepanjang pelayaran ini, kerjasama di antara pihak KD Perantau dan peserta EPSP ’09 dilihat amat memberangsangkan. Semua hasil kajian para penyelidik dapat dilihat menjadi pemangkin utama dalam pelaksanaan tindakan berkesan untuk melangkah jauh dalam inisiatif transformasi pengurusan sumber marin ke tahap optima bagi jangkamasa panjang.
Sempena pelaksanaan pelayaran saintifik ini, pihak NOD juga telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan beberapa program seperti berikut:
- Program Lawatan ke KD PERANTAU untuk pengambaran Majalah Tiga, TV3 pada 17 Julai- 19 Julai 2009
- Program MOSTI Bersama Penyelidik Ekspedisi Pelayaran Saintifik Perdana 2009 di Laut Sulu-Sulawesi pada 25 Julai 2009.







